Jodoh - Usaha Yang Tertulis.
Assalamualaikum.
Suka aku nak ulas pasal ini berdasarkan pengalaman aku sendiri.
Sebenarnya sebelum ni aku bagi private consultation (ecehh) bagi yang meminta ja.
Sebab? Bila aku cerita yang aku kawin pada umur 33 tahun dan suami pulak 6 tahun lebih muda, orang akan mula..'oh, that is interesting! How did you all met?' 😁
And aku suka cerita dari mula. Sebab aku usaha cari jodoh aku sehingga Allah SWT menemukan.
Bukan ke jodoh tu dah tertulis? Ya, betul.
Tapi Allah kan Maha Mendengar.
Okay macamni cerita dia beserta tips.
1) Aku mula ditanya orang 'bila nak kawin' masa umur aku 25 tahun. Masa tu aku dah kerja, ada kereta. Happy. Tapiii...aku tak terfikir pun nak kawin. Masa kawan aku tu tanya, aku jawab - ada jodoh, ada lah tu nanti. Typical.
Lepastu dia tanya lagi - awak ada pasang niat tak bila nak kawin?
Ok, aku jawab - ada, bila umur 30.
Then, dia bagi tau aku - Oo ok lah macam tu kalau awak dah niat. So, tak payah fikirlah sekarang. Nanti umur 30 baru baru Allah bagi fikir sebab dah awak niat macam tu.
Hmmm. Masa tu aku tak ambik serius kata-kata kawan aku ni,
**Sebenarnya masa dia tanya soalan ni pada aku, aku tengah berkawan (okay, bercinta.) dengan one guy ni. Kitorang dah berkawan dari umur aku 23 tahun lagi. Tak ada pun ciri-ciri kitorang nak kawin, lebih kepada membongak aja. 😆 Kitorang ni takde lah couple gila-gila jumpa pun dua tiga bulan sekali atau kalau dia free sebab dia kerja offshore. Zaman ni takde whatsapp bagai ye. Ada line, sms. Tak ada line, duduk diam-diam.
Masa pun berlalu.......(read :aku ni setia orangnya)
2) Semasa aku berumur 28 tahun, aku mula berani tanya bila dia nak kawin dengan aku? Masa ni Ayah aku baru meninggal. Jadi, perasaan nak dilindungi oleh seorang lelaki tu memang kuat. Dia pulak masa tu di ambang kemuncak kerjaya. Dia cakap kat aku tolong bagi dia 3 tahun untuk dia habiskan course dia by that time dia dah cukup stabil nak kawin dengan aku. Aku like whatt? Lagi 3 tahun umur aku dah 31 tahun! Dah melepasi target aku weiii.
3) Tak lama lepas tu dalam tahun yang sama aku pergi umrah dengan Mak. Sebelum pergi, aku jumpa dia dan putuskan hubungan kitorang as bf-gf. Bagi aku cukuplah aku berkawan dan setia dengan dia 5 tahun tanpa halatuju yang jelas. Aku cakap kat dia, insyaallah kat Mekah nanti saya nak doa jodoh untuk diri sendiri. Kalau betul awak jodoh saya, lepas berpisah ni adalah jalannya untuk kita berdua. Berpisah macam mana pun, kalau Allah tetapkan kita ada jodoh mesti kita akan bersama semula. Punya tekad aku time tu. Aku nangis dia pun nangis. Tapi keputusan aku muktamad - aku kena bertegas dengan diri sendiri.
4) Pergilah aku tunaikan umrah dengan Mak. Dapat solat kat Raudhah, dapat solat kat Hijr Ismail, dapat ke Jabal Rahmah. Aku ingat, aku ada doa minta Allah kurniakan jodoh yang terbaik untuk diri aku. Tapi aku terlupa nak mintak tahun bila boleh kawin! 😂
Yang aku ingat, aku ada doa jika mamat tu jodoh yang baik untuk aku, dekatkanlah. Jika tidak, jauhkanlah.
5) Balik dari umrah, ada aku jumpa exbf aku tu, sampaikan buah tangan dan air zam-zam. Ada dia cakap nak kawan semula, tapi aku tak kata apa-apa. Aku peratikan aja. Nak jadi cerita, itu last kami berjumpa. Dia tahu aku tinggal kat mana, kampung aku kat mana. Tapi dia takda usaha pun nak kitorang berhubungan semula. Bagi aku, Allah dah jawab doa aku dan aku redha serta gembira.
6) Hari berlalu hari. Tahun ni aku umur 30 tahun. Still single. Bukan ke ini tahun aku berniat nak kawin? Allah tak dengar niat aku ke? (monolog)
7) Tahun baru. Tahun aku berumur 31 tahun. Penghujung tahun. Danggg! Kalau aku sabar dengan si polan tu mesti kitorang dah kawin! Kenapa aku tak sabar? Kan dah kena cop anak dara tua! (monolog)
8) Tahun ke 32 hidup. Baru tersedar sesuatu yang besar. NIAT. Ya, niat. Aku dinasihat oleh sahabat ni untuk melihat semula niat aku dan memperbetulkan niat aku. Dia nasihat aku untuk BERUSAHA dan seterusnya REDHA. Lama aku nak faham nasihat dia ni sehinggalah aku betul faham apa yang selalu kita dengar - AJAL MAUT JODOH PERTEMUAN DI TANGAN TUHAN.
Selama ni aku nak kawin for the sake of umur. Bukan aku jer, ramai orang macam tu. Lepas tu bila kawan-kawan seangkatan dah kawin sorang demi sorang, kita pun mula menggelabah tenuk. Kita tak tahu apa tujuan kita nak kahwin sedangkan Allah Maha Mengetahui.
Sehinggalah bila aku meminta dari Allah (doa yang spesifik) 'Ya, Allah kurniakanlah aku jodoh yang baik kerana aku ingin mengumpul pahala menjadi seorang isteri. Aku nak kawin tahun depan Ya Allah. Kalau boleh aku nak kawin dengan tentera Ya Allah. Sebab kalau dia sibuk, aku ada masa untuk Mak dan ada masa nak beribadah kepadaMu Ya Allah'. Percaya tak? Ini lah yang aku mintak tiap hari dalam doa aku. Be spesifik terhadap apa yang kau minta dari Allah. Tak payah nak sorok-sorok sebab Allah Maha Mengetahui. Mulut mintak lain, hati mintak lain. Tu yang Allah nak tengok sejauh mana kita jujur dan ikhlas dengan doa kita.
Aku juga berdoa 'jika ada jodohku di dunia ini, pertemukan dan permudahkanlah. Jika telah Engkau tulis bahawa tiada jodohku di dunia ini maka cukuplah Engkau sahaja menjadi kekasihku di dunia dan akhirat. Aku rasa pada tahap ini, Allah dah campakkan rasa redha dalam diri aku. Aku tak sedih kalau orang panggil aku anak dara tua ke apa. Orang bertanya? Lagi aku suka.
9) Adakah berdoa saja dah cukup? Duduk bersimpuh di rumah menunggu pinangan? Tidakkk kawan-kawan. Usaha pula Allah nak tengok.
Bila kita dah berusia ni (bagi orang perempuan la) ramai yang concern. Ramai yang suka nak kenenkan kita sebab mereka nak bantu. Berbaik sangka dengan semua oang yang concern pasal jodoh kita. Jangan kita tolak pertolongan orang ya. Masa aku dulu, macam-macam orang dikenenkan. Aku terima jer semua. Bagi jer nombor telefon. Sebab? Allah yang gerak hati setiap kita. Ada yang contact kita, ada yang tak contact kita pun. Yang contact lepastu krik krik pun ada. Just chill. Niatkan semua kenenan (apa ni? hahaha!) orang tu sebagai untuk berkawan. Jangan kau terus ajak berkahwin pulak. Walaupun usia dah rembang senja, kau masih ada hak untuk memilih ya.
10) Penting juga bila orang tanya bila nak kawin - JANGAN MELENTING. Minta orang yang bertanya tu doakan kita pula. Itu yang aku buat setiapkali orang tanya soalan cepumas ni. Tak perlu nak jawab kalau ada jodoh semua tu. Suruh doakan aja sebab kita tak tahu jika ada doa orang tu yang diangkat terus oleh Allah kerana amal dia.
Tu lah benda-benda penting yang aku buat masa aku mencari jodoh dulu. Perbetul niat-usaha-doa-redha.
Aku akhirnya jumpa suami aku pun asbab budak ofis aku kenalkan. Masa tengah duduk-duduk dia masuk bilik aku tanya soalan aku ada boyfriend tak? Aku cakap tak ada. Dia tak percaya. Dia kata aku ni comel (okay mata ke atas lidah keluar) takkan tak ada boyfriend? Aku cakap tak de laaa. Dia kata nak tak saya kenalkan kawan saya? Aku macam biasa - OK. Terus dia bagi nombor telefon aku kat kawan dia. Tak sampai 10 minit, mamat tu whatsapp aku. Hari ke 7 kenal dah first date. Aku ada cerita kisah first date langgar moto tu kat sini
Dan antara doa aku yang Allah jawab dia ialah seorang tentera! Allah Maha Baik kan? Bagi apa yang kita nak. Mungkin Allah nak tengok sejauhmana aku tunaikan janji aku pada Dia. Pandai mintak kan...
Alhamdulillah, tahun 2019 ni tahun ke- 5 perkahwinan aku. Syukur Alhamdulillah. Terlalu banyak nikmat yang Allah beri kat aku. Sekarang aku ada dua orang anak yang comel-comel dan bijak. Allahuakbar.
Percayalah. Jika kita perbetulkan niat kita untuk setiap perkara yang kita nak, Allah pasti beri sebab Allah Maha Kaya, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Aku doakan siapa yang membaca ni jika sedang mencari jodoh semoga dipermudahkan. Aamiin.
30 Ogos 2014
Tu suami aku - yang pendek. Hahaa!
Comments