TRIBUTE - TERLANTAR
Assalamualaikum.
Ayah duduk di atas kerusi roda. Tunduk. Emak juga ada di sisi. Juga memandang kosong.
'Doktor, berapa kos kalau hendak buat operation di sini?'
'Lebih kurang 20 ribu.' Dr. Lukman menjawab lembut. Memandang aku dengan riak simpati.
Sepi. Aku juga sepi. Ya Allah, anak-anak mahu berikan rawatan yang terbaik buat Ayah. Tapi di mana pula hendak cari 20 ribu? Pada saat ini aku tidak sanggup memandang wajah Ayah. Tidak sanggup dan tidak mampu untuk mengangkat muka.
Adik beradik aku tidak ada yang bekerja kerajaan. Cuma aku saja, itu pun separuh kerajaan. Kepala aku mula sakit. Serabut. Mula berfikir-fikir apa benda yang boleh aku gadai atau jual. Mula terbayang-bayang wajah orang-orang yang berpotensi menghulur pinjaman. Ya Allah...
'Takpe, kalau hendak saya tolong referkan pada hospital kerajaan saya akan telefon ke hospital yang terdekat.' Doktor bersuara seolah-olah faham kemelut yang berperang dalam hati aku.
'Takpe, Doktor. Saya hendak keluar bincang dengan kakak saya dulu. Tunggu sekejap yer.' Aku bangun dari kerusi. Menatap wajah Ayah hati aku jadi sayu. Memandang wajah Emak, hati aku jadi luluh.
'Ayah, jangan risau yer. Insyaallah kita buat operation dekat sini. Duit tu Ayah jangan risau yer.'
Aku usap bahu Ayah. Terlihat pada wajah Ayah sedikit senyum. Aku pasti senyum itu untuk meredakan kegusaran hati aku. Dan hati Ayah sendiri.
Di lorong tangga kecemasan aku dan Alang berkongsi tangis dan sedu. Setelah berkira-kira dan beberapa panggilan telefon yang Alang buat, 20 ribu pasti boleh kami langsaikan. Apa saja demi rawatan terbaik untuk Ayah.
Petang itu juga Dr. Lukman aturkan supaya pembedahan boleh dibuat pada sebelah malam. Di wad, Ayah hanya menunggu untuk dipanggil ke bilik bedah. Tapi tiba-tiba Dr. Lukman memaklumkan bahawa bacaan denyutan jantung Ayah semakin lemah. Doktor menjangkakan Ayah pasti perlukan ICU selepas dibedah, malangnya hospital tersebut tidak ada ICU. Mungkin Ayah semakin sakit dan faktor umur antara sebab kebimbangan Doktor. Atau Ayah terlalu gemuruh untuk dibedah buat pertama kali.
Akhirnya Dr. Lukman mencadangkan Ayah dirujuk ke hospital terdekat yang terdapat ICU. Beberapa panggilan telefon dibuat dari satu hospital ke hospital yang lain. Jawapan yang diterima amat menghampakan, ICU penuh. Akhirnya setelah setengah jam Doktor memaklumkan terdapat kekosongan di ICU Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Alhamdulillah, Dr. Lukman bantu menguruskan Ayah untuk dirujuk ke HUKM, menguruskan Ayah menaiki ambulans. Terima kasih Dr. Lukman.
Senja itu aku melihat Ayah dibaringkan di dalam ambulans dengan Emak mengiringinya. Aku jangka itu pasti kali pertama Emak naik ambulans. Ayah pun? Aku pula tak pernah tahu bagaimana hendak ke HUKM. Mujur Lulu sentiasa bersedia menunjuk arah. Dari Shah Alam hingga aku nampak signage berlampu besar tertulis HUKM baru aku letak telefon dari bercakap dengan Lulu. Terima kasih Lulu.
Bila aku sampai HUKM, Ayah dah pun dimasukkan ke dewan bedah. Semua anak-anak Ayah tunggu ayah di luar dewan bedah. 12 jam lamanya. Hampir jam 3 pagi itu Ayah disorong keluar dari dewan dengan penuh wayar-wayar pada tubuhnya. Kaku.
Begitulah Ayah terlantar selama 3 hari di dalam ICU. Tapi aku tahu Ayah kuat. Ayah mesti bangun. Sebab anak Ayah ini hendak lihat Ayah buka mata dan senyum biarpun Ayah sakit. Ayah. Ayah. Ayah....
Comments