Tribute - Aku Dan Kadet Itu.

Assalamualaikum!
 
Kali ni aku nak share satu lagi kira macam cerpen la hasil nukilan aku berdasarkan real story. Seingat aku, cerita pendek pertama yang aku karang tajuknya 'Pesan Pada Angin' yang aku tulis masa aku Form 2. Ada la dalam 10 helai kertas kajang bukan depan belakang. Watak utama dalam cerita tu aku letak nama 'Noy' sempena nama kawan aku Yon. Cerita dia, cerita sedih sebab aku buat cerita tu Noy akhirnya mati. Apa la. Hahaha!
 
Cerita yang ni pulak kisahnya kawan aku yang request aku tulis based on our experience as Cadet Navy Volunteer lebih kurang 14 tahun lepas dekat UiTM. So, i came up with this humble story. Enjoy reading and rate me. :)

*********************************************************************************

Isnin, Pagi – Menara UiTM

Pagi itu saya dan kawan-kawan ada misi penting. Hari ini hari terakhir untuk ‘daftar KO’. Kami tidak ada pilihan, perlu pergi ke HEP, Menara untuk daftar KO. Dalam bas, kami telah berbincang. Kata putus dah dicapai. Semua setuju masuk ‘skuad katak hijau’. Mudah. Boleh bergerak bersama. Lagipun semua orang pun termasuk senior  masuk ‘skuad katak hijau’. Maknanya skuad itu bagus. Ya, setuju.

Rupa-rupanya bukan kami saja yang belum daftar KO. Hampir beratus orang bersesak-sesak di Menara. Macam pesta. Kaunter untuk daftar ‘skuad katak hijau’ barisannya sangat panjang. Kelihatan budak lelaki, perempuan berasak-asak di kaunter itu. Lepas daftar, mereka dapat baju t-shirt hijau. Itu bermakna sudah sah jadi ahli. Kami berempat tiba-tiba naik tensi. Kalau terus skema beratur begini, mungkin kami boleh kena histeria sebab perpeluhan dan kekurangan oksigen. Tiba-tiba Ayu telah bagi penyataan untuk bikin hati kawan-kawan lain goyang.

“Aku rasa nak daftar masuk sana ja lah..kaunternya tak ramai orang.” Katanya berbaur hasutan.

“Aku dengan Ta nak beratur sini ja. Kitorang nak jadi komander. Diorang kata, jadi komander dapat duduk kolej. Engkau?” Siti Tanya aku.

“Aku nak tengok-tengok dulu KO yang lain.” Aku beri jawapan mudah. Sesungguhnya aku memang tak kaji apakah faedah di sebalik setiap KO itu. Aku lurus. Bendul.

Rabu, Petang – Stadium UiTM

“Tiga ringgit, dik.” Kata abang teksi. Sumpah kalau aku tahu di mana letaknya stadium, aku jalan kaki saja. Sesungguhnya aku memang tak tahu bahawasanya aku memang boleh lari anak saja dari Kolej Anggerik ke stadium UiTM. Sudahlah berpakaian sukan, naik teksi pula. Memang tak ranggi. Lagi pun aku ‘lone ranger’. Siti, Ta dan Ayu, tiga-tiga sudah dapat t-shirt hijau. Petang ini mereka kena berkumpul di padang kawad.

Mujur aku tidak malu bertanya. Iyalah..sudahlah muka tidak jambu, kalau tidak pandai bawa diri, susahlah pula..Di stadium, ramai abang-abang dan kakak-kakak menanti. Mereka pakai sedondon. T-shirt putih dan seluar track biru. Aku diukur dan ditimbang. Kami diasing-asingkan mengikut kategori. Berdasarkan kegemukan, mungkin. Sebagai pembukaan, kami disajikan dengan satu persembahan nyanyian sambil melompat. Semua orang pun terhibur. Menyanyi sambil lompat berdiri dengan tangan yang diayun ke atas dan ke bawah adalah satu persembahan yang menarik bagi aku. Tak pernah terlihat di TV. “Lagu navy.” Kata budak di sebelah aku. “Di tengah samudera raya, di tengah samudera raya.” Aku nyanyi ulang-ulang dalam hati. Melodi itu sangat indah bagi aku yang berdarah seni ini.   

Petang itu berakhir dengan sangat perlahan. Ujian melompat dari kapal ke kapal, push-up, sit up. Semua nya pertama kali bagi aku. Aku balik dari stadium jalan kaki saja. Berkat ujian tadi, mungkin. Dalam perjalanan, aku berasa sangat down. Aku yakin aku tidak akan dapat masuk ‘navy’. Larian balapan satu pusingan tak berjaya aku sudahkan. Semput. Pendek nafas. Rasa nak mati. Malu juga dengan abang navy yang lari bersaing dengan aku. “Come on! Come on!” katanya.

“Bang, saya tak larat” itulah kata-kata terakhir aku. Selepas itu aku duduk tepi padang bersama beberapa orang lain yang juga tak larat. Aahh!! Biarlah. Kalau tak dapat pun tak apalah, esok aku daftar Kesatria….

Sabtu, Pagi – Kolej Teratai 1

Beg yang berat kejap-kejap aku letak ke bawah. Tiap kali nampak pintu aku berhenti. Membaca di mana sudah nama aku. Dan akhirnya, di bilik bernombor 1606. Leyrita Saliman, Henrietta Naning dan Aku. Hahh! Akhirnya aku jadi navy. Bangga. Sedikit riak. Bermula dengan senarai nama yang lulus fitness test ditampal di setiap kolej kediaman sehinggalah aku terima surat tawaran yang ditandatangani oleh ‘Navy Betul’. Haihh! Memang bangga. Sejak dari itu bermulalah episod baru dalam hidup aku. Hidup yang diselubungi pelbagai soalan yang menjanjikan ganjaran ketenangan ataupun keperitan. Semua soalan perlu dijawab. Pada ketika ini juga aku di tebak persoalan – adakah aku telah membuat keputusan yang betul?

*****

Hari-hari aku jalani dengan tabah. Kadangkala terasa ingin  pasrah dan mengalah. Kerana teman-teman kami bertahan untuk satu sama lain. Inilah bahananya bila cuma ada senior, junior dan kadet dalam skuad ini.

Kami umpama adik bongsu yang tersepit. Mengadu pada Angah. Sedar-sedar, pasti  Along tahu. Itulah namanya ‘magik’. Bila kami buat salah, sedar-sedar Angah pula yang kena balun dek Along. Itulah namanya ‘kepimpinan’. Tapi bila malam sikit, sedar-sedar kami semua sedang berguling di atas muntah kawan-kawan yang lain. Itulah namanya ‘hell’. Angah kata – setiap yang salah mesti ada punishment. Baiklah, setuju.

Hari ini, setiap masa – Di dalam hati

Setiap hari bila merenung ke tingkap, aku masih boleh nampak Menara. Kadang-kadang bila ada urusan di UiTM, aku ambil kesempatan pusing-pusing tempat-tempat bersejarah buat aku dan rakan-rakan seperjuangan – Padang Delima, Padang Perindu, Kompleks Sukan, Bukit Tonggek, Padang Kawad. Ahh..banyak lagi tempat bersejarah, tak perlu sebut di sini. Yang pasti kolam renang adalah tempat keramat yang meragut kesucian mata kamu semua, kan guys?

*****

Banyak yang dilalui di sini sebagai ‘navy’. Tambah lagi dengan rutin Alpha di Penang, Bravo di Kuantan dan ‘Bravo Modified’ di Lumut. Tak lah begitu hebat bunyinya. Yang hebatnya ialah kami semua telah ditauliahkan oleh Yang Dipertuan Agong. Dan yang paling hebat ialah kami masih bersama, masih memerlukan antara satu sama lain dan masih mengingat setiap perkara yang melucukan yang pernah kami lalui bersama bertahun dulu dalam ‘navy’.

 Hari ini, kami bukan siapa-siapa dalam navy. Ada di antara kami yang masih terus utuh menyarung uniform 10 tahun lepas dan menjalani latihan hujung minggu sebagai pegawai simpanan. Ada juga di antara kami yang masih menggantung kemas uniform yang sudah tidak muat di dalam almari tanpa berniat mahu mewakafkan kepada sesiapa. Ada juga di antara kami yang tidak boleh terlihat dokumentari ketenteraan di televisyen, pasti tidak akan beralah dengan anak-anak yang ingin melihat saluran Ceria.

Kepada Along dan Angah, jangan bimbang. U did a good job towards us. Tanpa ilmu dan ujian-ujian yang anda berikan, mungkin kami tidak sekental ini. Jangan bimbang juga. Kami telah menjadi orang yang berguna di luar. Malah kami juga berbangga dengan anda semua yang telah menjadi individu yang hebat di luar sana. Mana mungkin kami melupakan anda. Biarpun ada di antara anda telah tiada lagi di dunia ini.

*****

Hari ini, bila aku bertanya kepada diri sendiri - adakah aku telah membuat keputusan yang salah? Jawapannya adalah TIDAK sama sekali. Kerana di tempat kami disatukan ini, ada yang telah menemui cinta dan telah bersatu. Ada juga yang sekadar bertemu cinta dan tidak bersatu. Tapi bukan kah ianya hebat dan bermakna?

Kepada teman-teman seperjuangan, u know who you are. Sehingga sekarang, anda semua adalah di antara orang-orang yang penting dalam hidup ini. Salam ingatan juga buat mereka yang tidak sempat ditauliahkan bersama kita. Tentu ada sedikit kenangan dengan Henrietta, Rashidah, Hisyam, Azmi, Yamani, Zalman, Irwan, Bachok, Michael, Sengeh, dan Ghazali?

Kepada senior Intake 1/97 dan Intake 2/98, anda adalah individu-individu yang hebat. Anda memberi sedikit warna yang berlainan pada kanvas hidup kami.  

Kepada junior, baguskah menjadi Pegawai Dalam Latihan PSSTLDM? Saya yakin, segalanya semakin baik kini buat anda. Sentiasa lah bersemangat dan berusahalah memahami perjuangan sebenar anda di dalam pasukan ini. Kutiplah segala perkara baik yang telah berlaku agar anda menjadi individu yang bersemangat berjuang. Dan jadikanlah perkara yang buruk sebagai tauladan agar anda lebih kuat berusaha.

Semoga PALAPES LAUT UiTM terus unggul dalam melahirkan pegawai-pegawai pelapis yang berkualiti dan SEDIA BERKORBAN.

 

Comments

Popular posts from this blog

Aurat - Aku Dengan Anak Buah.

Keajaiban Zikir Ya Aziz Ya Jabbar Ya Mutakabbir

Do's And Don'ts Semasa Berpantang